MASJID AN-NUR, MUKIM JUNJONG, KULIM KEDAH

Masjid An-Nur, Junjong yang dulunya dikenali sebagai Masjid Junjong telah dibina lebih dari 100 tahun yang lalu. Ianya terletak di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Kedah, di atas PT 237 (Lot 10 & Lot 11), Mukim Junjong, Kulim, Kedah Darul Aman. Berasal dari sebuah bangunan kayu yang kecil, bangunannya telah diperbesarkan dari masa ke semasa bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah. Kos penambahan bangunan Masjid ini adalah hasil kutipan dari ahli kariah, orang ramai dan juga bantuan dari kerajaan.

Pada masa kini, Masjid An-Nur mempunyai lima (5) lot tanah wakaf dengan keluasan keseluruhan adalah 3.69 ekar. Gunatanah semasa di atas tanah wakaf ini adalah bangunan masjid, bangunan dewan, ruang memasak, pejabat imam, tandas, tempat letak kereta dan tapak perkuburan. Pelan 1 dibawah menunjukkan gunatanah sediada di atas tanah wakaf tersebut yang merangkumi PT 236, PT 237, Lot 139, Lot 271 dan Lot 925.


Kariah Masjid An-Nur ini meliputi kawasan Pekan Junjong, Kg Belakang Pekan, Kg Padang Penyangga, Kg Padang Janggus, Kg Permatang Tiong, Kg Ayer Puteh dan Kg Sera yang mempunyai lebih 800 buah keluarga. Disebabkan oleh pembangunan di kawasan persekitaran yang pesat, penduduk di kariah ini juga telah bertambah. Masjid ini juga sering menjadi persinggahan Jemaah dari luar untuk solat kerana lokasinya di tepi jalan utama (gambar di bawah), yang menghubungkan Bandar Kulim dengan Jawi dan Parit Buntar.

Lokasi masjid sediada di tepi jalan utama yang mempunyai simpang tiga dan cukup sibuk (jalan utama Kulim – Sungai Bakap – Jawi – Parit Buntar – Taiping – Ipoh). Jemaah terpaksa melintas jalan utama ini dan ia cukup menyukarkan terutama bagi orang-orang tua dan wanita serta kanak-kanak. Gambar di bawah menunjukkan persimpangan dekat masjid manakala Pelan 2 menunjukkan lokasi Masjid An-Nur, Junjong.